MGG1601
(Tulisan ini termuat dalam HARAKAH edisi
1-15 Februari dan berada di pasaran pada 17 Januari 01)
Memperingati Tun Abdul
Razak – 25 Tahun Kemudiannya (Remembering Tun Abdul Razak – 25 Years later)
Oleh: MGG Pillai
Perdana Menteri yang kedua, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein,
53, meninggal dunia kerana penyakit mononucleosis, dan bukannya leukemia seperti
yang dicatatkan oleh New Straits Times. Dia menghembuskan nafas terakhir di
sebuah hospital di London pada 14 Januari 1976. Ketika itu Malaysia sudah
kukuh dengan arus politik yang menekankan ketuanan Melayu. Inilah arus
gelombang yang terus mengalir, tetapi sudah robak-rabik dan compang-camping
kerana digugat dan diliwat.
Kebijaksanaan Tun Razak itu bukanlah disebabkan
beliau seorang ahli generasi aristokrat ataupun ningrat Melayu, ataupun
seorang ahli politik yang mudah diajak berbicara semata-mata. Dia merupakan
seorang ahli politik yang sedar apa sebenarnya yang baik untuk Malaysia dan itulah
yang direncanakannya agar dapat dicapai oleh rakyatnya walaupun dia sudah lama
meninggal dunia. Dia tidak memperibadikan politik, ataupun menghampakan amanah
yang diserahkan kepadanya oleh rakyat jelata, baik yang gadang mahupun yang kecil.
Itu sebabnya dia berusaha dengan segala keperitan melakar satu wawasan untuk
Malaysia yang diimpikannya sejak dia menjadi timbalan perdana menteri
selepas kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos, 1957.
Sebagai seorang anak lelaki kepada seorang pemimpin aristokrat, Tun Razak
memegang jawatan Dato Shah Bandar Sungai
Pahang. Pangkat aristokrat itu adalah satu warisan budaya yang
tidak menjanjikan beliau menjadi kaya raya. Untuk mengungkit kisah kemiskinan
beliau ketika berkaki ayam ke sekolah rendahnya dulu tentu bererti
memperlekehkan satu ketokohan memori indah yang mewarnai dirinya dan
juga sejarah bangsanya.
Kalau dibandingkan keadaan hidup di waktu itu,
hidupnya bolehlah dianggap lumayan juga, kerana faedah kebesaran yang ada
dan warisan yang dinikmatinya memberikan tarikan istimewa ketika British
masih lagi berkuasa. Dia masuk menjadi penuntut Raffles College di Singapura
pada 1939, di waktu anak-anak rakyat biasa memang tidak punya peluang memasuki maktab itu. Kalaulah bapanya seorang rakyat biasa, tentunya dia
tidak akan dikenali. Namun peluang yang diberi diterimanya dengan balasan
yang bijak bistari.
Dalam satu laporan menghargainya pada 14 Januari
01, The
New Straits Times, telah melakukan satu kesilapan memperlekehkannya kerana
menonjolkan keperibadiannya dan bukan kejayaannya. Akhbar itu cuba tetapi
gagal melakukannya untuk menonjolkan Tun sebagai seorang yang baik hati yang
memang disanjung oleh negaranya. Dia adalah seorang insan yang mempunyai
ketokohan yang melampaui semua itu. Sepatutnya akhbar itu mencuba untuk menilai
segala pengorbanannya.
Tun telah menganjurkan satu projek pembangunan
di waktu negara masih membangun. Selama dua puluh tahun rencana itu mampu bertahan
sehingga terbentuk satu sistem yang tersusun rapi. Malangnya segala usaha itu
hancur berkecai oleh tindak-tanduk kerakusan seorang insan yang memegang jawatan yang pernah disandang oleh Tun itu, untuk satu waktu yang lebih lama lagi
dari tempoh yang dipegangnya. Sebagai seorang pakar strategi yang bijaksana dia
berjaya menarik sokongan parti pembangkang untuk menganggotai Barisan
Nasional selepas pemilu 1969 dulu, sehinggakan Barisan itu mampu berdiri
kukuh pada 1973 untuk menjadi satu parti komponen yang besar dan berpadu. Kaedah
yang sama cuba ditiru oleh perdana menteri yang ada sekarang, berdasarkan semangat
Ketuanan Melayu. Sayang, kilat tidak mudah memancar di tempat yang sama secara
berulang, apatah lagi terhadap UMNO yang semakin malang.
Tun adalah seorang insan
yang berwibawa yang muncul tepat pada waktunya, seperti juga dengan ramai lagi
rakyat Malaysia ketika negara berada di ambang kemerdekaan. Dia adalah salah
seorang di kalangan segelintir kumpulan kecil aristokrat yang berkhidmat
dengan kerajaan ketika masih berusia lingkungan tiga puluhan dan naik
menerajui kedudukan tinggi dalam negara yang baru merdeka dengan segala cabaran
yang belum pernah dilalui dan dapat difikirkan bebannya.
Ketika Tengku Abdul
Rahman merancang kabinet pertama beliau, ada dua orang calon untuk menjadi
timbalan perdana menteri dan juga merangkap timbalan presiden UMNO. Mereka adalah Tun Razak dan Tun Ismail bin Dato’ Abdul Rahman. Tun Razak menang; Tun Ismail
berlepas ke luar negara untuk menjadi duta Malaysia pertama di Amerika Syarikat.
Dia kekal di sana sehinggalah Malay bertukar nama menjadi Malaysia. Namun,
dia melepaskan jawatan itu untuk bebas beberapa tahun dan masuk berkhidmat semula
selepas tercetusnya keributan Mei 13. Dia dilantik oleh Tengku untuk menjadi
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Tun mempunyai satu visi yang jelas untuk berkhidmat
kepada bangsanya setelah dibekalkan satu pengalaman yang dinaungi oleh
tradisi berkhidmat tanpa mementingkan diri sendiri. Dia telah menggerakkan
satu tindakan dengan sokongan pemimpin Romania ketika itu, Nicolae Ceascescu
untuk menjalin hubungan dengan Beijing. Pada tahun 1974 dia melawat China untuk
merasmikan hubungan diplomatik itu.
Rakyat amat menghormati Tun, tetapi dia juga
tidak berapa rapat dengan mereka kerana pada lahiriahnya beliau adalah
seorang insan yang pemalu, yang merasa lega dan selesa ketika berada di kalangan
para sahabatnya. Dia mudah mengharapkan sokongan lapisan para pekerja awam, ahli
politik dan kakitangannya. Di antara mereka termasuklah bekas ketua
setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Zain Azrai Zainal Abidin, Tan Sri Abdullah
Ahmad yang menjadi setiausaha politiknya dan Encik Abdullah Majid, setiausaha
akhbar yang kini berusia 70-an dan sedang terbaring disebabkan serangan angin
ahmar yang membuatkan beliau tidak mampu berkata-kata.
Ketika Tun Razak meninggal
dunia, para pengumpatnya telah menuduh para juaknya sebagai tali barut komunis.
Kerana itu Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid ditahan di bawah akta I.S.A untuk
enam tahun lamanya. Tan Sri Zain dihantar menjadi Duta Malaysia ke
Amerika Syarikat, satu tindakan pantas yang dilakukan oleh biras dan juga
penggantinya, Tun Hussein Onn.
Tengku Abdul Rahman memang selalu mencurigai
keikhlasan dan sikap lurus bendul Tun Razak dalam cara beliau berpolitik. Keraguan
itu tertumpu kepada jiran mereka Singapura. Kerana itu apabila Singapura
keluar daripada gagasan Malaysia pada 1965,Tengku bertindak untuk memperbetulkan keadaan. Tun Razak dan Mr. Lee Kuan Yew pernah menuntut di Raffles
College di waktu yang sama. Perhubungan mereka adalah satu jalinan yang tidak
setara kerana Lee Kuan Yew mampu mengatasinya.
Tetapi, Tengku mempunyai kepintaran
untuk menguasai Lee Kuan Yew dalam hubungan mereka berdua. Inilah satu kepintaran
yang memang diakui oleh Lee dalam tulisan ‘memoir’nya. Apakah sikap Tun itu
sesuatu yang merupakan tindakan untuk mengganyang Tengku? Kemunculan
pertengahan 60-an telah menunjukkan betapa beliau bertindak untuk
meminggirkan Tengku. Inilah waktunya Tengku mula bergantung-harap
kepada Tun Ismail yang ketika itu merupakan seorang ahli parlimen di kerusi
belakang sahaja.
Versi apa yang sebenarnya berlaku masih belum terbuku lagi. Ia
tidak menyerupai apa yang diberitahu secara lisan di waktu ini. Sebagai seorang
wartawan politik kepada Malay Mail ketika itu, saya mempunyai beberapa versi
berbeza daripada rekod rasmi negara. Di antara pengalaman saya itu termasuklah satu peristiwa bersejarah di satu pagi di kediaman rasmi Tun di
Seri Taman. Sebelum hari itu meninggi, Kuala Lumpur sudah menyala dek kebakaran
yang menggila.
Mei 13 adalah satu waktu di mana orang Melayu dan Cina berantakan
sesama mereka pada kali pertama. Semangat Revolusi Budaya yang diapikan oleh Mao
Zedong telah bermula di Penang ketika dilancarkan gerakan ‘hartal’ pada
1967. Ketika itu orang Melayu bertindak secara beremosi jua. Tersebut kisah seorang
aktivis Parti Buruh yang ditembak mati ketika merentang kain memboikot
pilihanraya di Kepong, telah disahut oleh ribuan orang Cina yang mengadakan
perbarisan di jalan raya Kuala Lumpur satu hari sebelum diadakan pilihanraya umum.
Inilah yang telah menyemarakkan keadaan tegang antara kaum ketika itu.
Ketegangan ini disadur pula dengan desas-desus ketegangan dalam hubungan antara
Tengku dengan Tun Abdul Razak, yang memang tidak dilaporkan. Yang menjejaskan
sedikit reputasi Tun Razak ialah berhubung rapat dengan perbuatan kurang hormatnya
terhadap Tengku setelah beliau terpaksa melepaskan jawatannya. Gratuiti yang
diterima oleh Tengku telah dirampas dengan cepat oleh Jabatan Hasil Dalam Negeri
untuk menyelesaikan cukai lama yang tidak diselesaikannya.
Tiga orang perdana
menteri Malaysia walaupun berasal-usul daripada golongan ningrat, mati tanpa
banyak kekayaannya. Tengku mempunyai sebuah rumah di Pulau Pinang, tetapi dua
perdana menteri selepasnya tidak pun mempunyai rumah sendiri. Balu mereka masih
lagi menetap di rumah kerajaan. Tetapi, nasib yang sama tidak pula akan ditiru
oleh orang yang akan mengekori kematian mereka bertiga. Tidak juga oleh menteri kabinet yang ada,
kerana semua akaun dalam bank yang ada memang penuh sampai ke
bibirnya. Ini membayangkan betapa rakusnya mereka ketika masih berjawatan
sehingga mampu memiliki kereta mewah yang tidak setara dengan pendapatan gaji dan
elaun ketika berkhidmat kepada rakyatnya.
Walau bagaimana pun, Tun Razak adalah
laksana seorang gergasi di kalangan manusia biasa. Ketika dia jatuh sakit pada
1976, dia dihantar ke London tanpa diiringi isterinya kerana dia tidak
membenarkannya. Perbendaharaan negara terlalu dhaif ketika itu dan dia sendiri tidak
mampu membayar tiket isterinya. Kalau ingatan saya tidak silap, ketika itu
ketua eksekutif Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengeluarkan belanja
untuk membolehkan isterinya pergi ke London untuk berada di sisinya. Dia
melepaskan nafas terakhir di London. Jenazahnya dibawa pulang untuk disemadikan di
makam pahlawan Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Selama lima tahun Tun menjadi perdana
menteri, dia telah menukar ketokohan negara Malaysia. Dia merupakan seorang
mahaguru strategi yang tidak dapat ditandingi oleh orang Cina ataupun orang India.
Yang membantunya ketika itu ialah tindakan MCA untuk menarik diri daripada
menyertai pemerintah selepas pemilu 1969. Keputusan yang silap itu telah
menghantui parti itu sehingga hari ini. Inilah yang menjadi bahan kutukan
bersama oleh UMNO dan jua masyarakat Cina yang dilaungkan sebagai diwakili
oleh MCA itu.
-MGG Pillai-
Terjemahan MT |